KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan peningkatan penghasilan harta intelek (IP) atau paten yang boleh dikomersialkan kepada enam peratus menjelang tahun 2020 daripada lima peratus ketika ini. Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Asma Ismail, berkata penghasilan IP atau paten yang boleh dikomersialkan penting bagi memastikan segala usaha penyelidikan atau pembangunan membabitkan idea atau ciptaan teknologi baharu yang dihasilkan oleh universiti tidak disimpan begitu sahaja sedangkan ia boleh dijual kepada usahawan. Beliau berkata, berbanding negara maju yang mana 10 peratus daripada penghasilan IP atau paten boleh dikomersialkan, Malaysia masih agak ketinggalan berikutan kurangnya penyelarasan antara penghasilan IP atau paten dengan keperluan industri bagi membolehkannya dikomersialkan. "Perlu ada keseragaman atau penyelarasan antara semua pihak yang terbabit bagi memastikan IP atau paten dihasilkan boleh memberi manfaat atau dikomersialkan," katanya pada majlis pelancaran PATTENMALL.ASIA. Yang hadir sama Pengerusi PatentMall Sdn Bhd, Muhammad Mohan Krisna. PATTENMALL.ASIA ialah paltform terkini bagi pengkomersialan jual beli paten dan ciptaan kreatif atas talian. Perkhidmatan yang ditawarkan oleh PatentMall itu adalah percuma kepada orang ramai dan pemilik paten yang mana ia menyediakan platform pengiklanan percuma untuk semua ciptaan harta intelek yang kebanyakannya dikeluarkan atau dicipta oleh sektor pendidikan, iaitu universiti atau pihak RI di Malaysia.

Back to news